Barah Payudara-punca & tanda-tanda

KETULAN pada payu dara memang kerap berlaku. Setiap wanita yang mempunyai ketulan dalam payu daranya tidak sepatutnya membiarkannya tanpa mendapat nasihat, pemeriksaan dan ujian daripada doktor. Langkah ini penting kerana ketulan itu mungkin barah, walaupun kebanyakan ketulan dalam payu dara bukan daripada jenis barah. Kadar barah payu dara di negara barat seperti Amerika Syarikat adalah satu dalam 10 orang wanita. Di Malaysia kadar barah payu dara juga meningkat mencapai kadar negara maju.

Tanda-tanda barah payu dara adalah seperti berikut:

1. Ketulan dalam payu dara. Tanda ini adalah yang paling lazim didapati di kalangan wanita berpenyakit barah payu dara. Ketulan itu tidak menimbulkan kesakitan dan biasanya disedari secara tidak sengaja seperti semasa mandi ataupun semasa pemeriksaan sendiri payu dara.

Kadang-kadang ketulan disedari oleh orang lain seperti suami atau doktor yang memeriksa payu dara. Lazimnya ketulan terdapat pada bahagian atas dan luar payu dara (upper outer quadrant). Barah juga berlaku pada bahagian tengah, atau atas dan dalam payu dara tetapi pada kadar yang rendah.

2. Terdapat ketulan kelenjar yang membesar di bahagian ketiak.

3. Terdapat cairan seperti darah atau nanah yang keluar daripada puting payu dara.

4. Terdapat perubahan pada kulit payu dara. Perubahan yang perlu diperhatikan ialah kulit menyerupai kulit limau oren (peau d’orange) yang berlubang kecil. Keadaan ini menandakan bahawa barah telah merebak dan berkemungkinan besar saluran limfa telah tersumbat olehnya. Perubahan bentuk payu dara juga boleh menandakan terdapat barah padanya.

Semua wanita digalakkan untuk mengenali bentuk dan saiz payu daranya supaya perubahan yang berlaku dapat dikesan dengan cepat. Jika terdapat perubahan pada payu dara seperti yang telah disebutkan, wanita dinasihatkan supaya berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya bagi membuktikan jenis ketulan yang ada dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Siapakah yang berisiko tinggi untuk mendapat barah payu dara?

1. Wanita mempunyai risiko 100 kali ganda lebih tinggi daripada lelaki. Risiko ini menjadi lebih tinggi pada era sebelum putus haid. Orang lelaki juga boleh mendapat penyakit barah payu dara.

2. Sejarah keluarga – Risiko barah payu dara bagi seseorang wanita berganda dua tiga kali jika terdapat sejarah penyakit payu dara pada keluarga terdekat (first degree

relatives) seperti ibu, kakak, adik atau emak saudara.

3. Sejarah barah – apabila seseorang wanita telah menghidap barah payu dara, risiko untuknya berulang lagi meninggi empat kali ganda. Ada kajian yang menyatakan bahawa ketulan atau penyakit payu dara yang bukan daripada jenis barah juga boleh meninggikan risiko untuk barah payu dara.

Kajian juga menunjukkan bahawa risiko untuk barah payu dara juga meninggi jika terdapat sejarah barah ovari, melanomas (barah kulit), usus dan rahim.

4. Sejarah haid dan pembiakan – wanita yang mempunyai masa yang lama dalam era reproduktif mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk barah payu dara. Ini bermakna wanita itu didatangi haid yang pertama pada umur yang agak awal (9 tahun) dan mencapai alam putus haid pada umur yang agak lewat (55 tahun ke atas). Melahirkan anak merendahkan risiko barah ini terutamanya jika kelahiran anak yang pertama berlaku sebelum ibu mencapai umur 30 tahun.

5. Pemakanan-pengambilan lemak secara berlebihan meninggikan risiko barah ini. Oleh itu wanita digalakkan untuk mengambil banyak sayur-sayuran dan mengurangkan kadar pengambilan lemak dalam makanan.

6. Pengambilan hormon – kajian telah menunjukkan bahawa wanita yang sudah putus haid dan mengguna hormon gantian (HRT- hormone replacement therapy) didapati mempunyai risiko barah payu dara yang lebih tinggi. Risiko ini meninggi hanya setelah lima tahun penggunaan hormon secara berterusan.

7. Obesiti – wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk barah ini.

Berat badan unggul seseorang bergantung kepada ketinggian dan juga rangka badannya. Untuk mengetahui berat badan unggul, seseorang perlulah mengetahui Body mass index (BMI)nya. Formula untuk mengira BMI adalah seperti berikut:

Berat badan (kg) bahagi dengan tinggi (metres) kuasa dua. Julat BMI yang normal untuk wanita ialah 20-24. Sebelum puan mengambil langkah-langkah untuk menguruskan berat badan, puan perlu mengira BMI puan. Jika BMI berada dalam lingkungan yang normal, puan tidak perlu mengurangi berat puan.

Langkah untuk menguruskan badan memerlukan nasihat doktor supaya langkah yang diambil tidak membahayakan kesihatan tubuh badan secara am. Cara yang paling baik untuk mengurangkan berat badan ialah memastikan tenaga yang diperoleh melalui makanan adalah seimbang dengan penggunaannya.

Jika terdapat berlebihan input, penggunaan tenaga perlulah ditingkatkan seperti senaman untuk membakar lemak lebihan atau pemakanan dikawal supaya tiada lebihan tenaga disimpan sebagai lemak.

About these ads

~ oleh mdkhirul di Ogos 27, 2007.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: